Followed Me !

Wednesday, January 6, 2010

Idola Kecil 2

BAGI mereka yang menonton malam kemuncak Idola Kecil 2 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor (SACC), malam Sabtu lalu, pasti ramalan untuk mencongak siapakah bakal bergelar juara sukar untuk dilakukan.







Masing-masing ada kekuatan tersendiri terutamanya Nurul Natasha Jaffri atau Tasha, 11, yang mempunyai vokal matang serta mantap.






Lihat sahaja bagaimana Tasha yang memiliki wajah persis penyanyi Farawahida ini melontarkan suara ketika menyanyikan lagu Cinta Adam dan Hawa, dendangan asal Misha Omar.






Bukan mudah untuk membawakan lagu tersebut yang menuntut si pelontar vokalnya pandai bermain dengan alunan dan liuk lentok lagu tersebut.






Begitu juga dengan Muhamad Fhazrill Fesol (Arill), 11.






Si comel dari Pulau Pinang ini nampak begitu bertenaga tatkala menyanyikan lagu rock Peronda Jaket Biru.






Bagaimanapun, adat orang bertanding, ada yang kalah dan ada yang menang.






Tasha dan Arill yang menjadi antara pilihan ramai untuk bergelar juara, rezeki tidak memihak kepada mereka apabila sekadar berpuas hati membawa pulang hadiah saguhati berupa RM1,000.






Tidak dilupakan, Maulud atau nama sebenarnya Mohd. Farid Mohd. Azmi, 12.






Daripada segi vokal, Maulud memang diakui kalah tetapi pelajar yang mula melangkah ke sekolah menengah ini ada kekuatan tersendiri khususnya lakonan serta gaya di atas pentas.






Tolak ke tepi mutu vokal atau suara, semuanya boleh dibentuk dengan menghadiri kelas-kelas vokal.






Kalau menyebut tentang si juara pula, tidak dapat dinafikan, elemen pakej mungkin jadi penentu segala-galanya.






Masakan tidak, cantik dan bergaya sudah lama menjadi 'syarat utama' untuk seseorang itu diterima sebagai artis di negara ini.






Bukan hendak menidakkan kekuatan yang ada pada diri Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah, 10. Tetapi, itulah realitinya.






Dalam pertandingan akhir Idola Kecil 2 itu, Dayana membawa pulang wang tunai RM15,000 selaku juara di samping diumum sebagai Idola Popular Dutch Lady.






Tempat kedua pula dimenangi Muhammad Azzammuddin Lop Hisham (Azzam), 12; dan ketiga, Zur'Ain Abd. Rahim (Ain), 12.






Penuhi hajat ibu bapa






Kata Dayana, kemenangannya itu memang tidak disangka lantaran pencabarnya yang lain turut memiliki kekuatan vokal.






Melihat Azzam dan Ain selaku pesaing, murid Sekolah Kebangsaan Senawang, Negeri Sembilan ini bertuah kerana mendapat bantuan serta semangat daripada ibu dan bapanya yang merupakan penyanyi sambilan.






Meminati beberapa nama besar dalam bidang seni antaranya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Anuar Zain, Dayana mahu membalas jasa kedua ibu bapanya itu dengan wang kemenangan.






"Saya mahu memenuhi hajat mereka. Mahu hadiahkan mereka telefon bimbit. Juga hadiah untuk atuk (datuk) dan nenek.






"Selain minat hendak menjadi penyanyi, saya juga minat berlakon dan menari. Dengan kemenangan ini saya sudah bersedia untuk menjadi seorang penyanyi,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya Idola Kecil 2.






Di pentas akhir Idola Kecil 2, setiap peserta dikehendaki membuat dua persembahan iaitu menyanyi lagu-lagu artis popular tanah air dan sebuah lagu baru.






Dayana diberikan tugasan mendendangkan lagu Jika Kau Ubah Fikiran, nyanyian asal Mila dan lagu baru berjudul Satu Impian.






Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin.






Juri pada malam itu terdiri daripada penyanyi terkenal, Atilia, Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan komposer terkenal, Adnan abu Hassan.






Selain hadiah berupa wang tunai dan sijil, beberapa peserta akhir bakal menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Sony Music serta 'diikat' TV9 untuk diserap dalam program-program di stesen televisyen berkenaan.






Atilia ubah persepsi






Sementara itu, Atilia yang bertindak selaku juri tetap berkata, selepas berminggu-minggu bersama dengan kesemua peserta, dia melihat mereka telah banyak berubah.






"Dayana seorang penyanyi yang natural (semulajadi). Azzam pula, peminatnya cukup ramai. Begitu juga dengan Arill.






"Saya bangga dengan mereka semua. Pada mulanya saya memang tidak suka kanak-kanak menyanyi. Biarlah mereka habis belajar dahulu.






"Tetapi, apabila melihat bakat yang ada, bakat mereka tidak boleh disorok,'' katanya.






Ditanya mengenai Tasha, Atilia menjelaskan, nyanyiannya tidak ada yang salah.






"Cuma, Tasha ada kekurangan apa yang dikatakan X Factor,'' tegasnya.






Bagi Adnan pula, apa yang perlu dilihat daripada peserta adalah bagaimana mereka mampu menghilangkan perasaan gementar ketika beraksi di pentas.






"Mereka tidak ada perasaan takut atau gementar. Lagu-lagu yang diberikan pula, bukannya lagu yang mudah untuk dinyanyikan. Bakat mereka amat mengagumkan,'' katanya.






Siap sedia Idola Kecil 3






Dalam pada itu, Rozaina memberitahu, TV9 bakal meneruskan Idola Kecil musim ketiga yang lebih besar dan mantap.






Ditanya mengenai peluang menandatangani kontrak bersama Sony Music dan TV9, Rozaina berkata, semuanya akan diberitahu kelak dalam satu majlis khas bagi mengumumkan perkara tersebut.






"Mungkin akan ada album kompilasi Idola Kecil. Untuk TV9 pula, mereka akan 'diikat' untuk program-program televisyen di stesen ini.






"Untuk itu, mereka tidak dibenarkan ke stesen lain yang bukan milik Media Prima Berhad. Program pertama mereka berkemungkinan akan dapat disaksikan menjelang cuti persekolahan pada bulan Mac depan,'' tambahnya.

Keratan Utusan Malaysia..

No comments:

Post a Comment